26 JUN: Tindakan kerajaan melaksanakan ‘Total lockdown’ berjaya mengelakkan Malaysia daripada dilanda ‘malapetaka’ seperti yang diunjurkan sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebelum ini kerajaan menjangkakan Malaysia dijangka berdepan dengan kenaikan kes jangkitan sehingga 13,000 kes sehari pada 14 Jun jika tiada tindakan drastik dilakukan.
Malah, Dr Noor berkata jumlah jangkitan boleh mencecah sehingga 40,000 kes sehari selepas beberapa minggu kemudiannya.
“Kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk menurunkan lagi kes.
“Selagi masih ada pergerakan dan aktiviti berkumpul beramai-ramai di sesetengah sektor, kita akan tetap berada di mana kita hari ini.
“Jika orang lain berdegil, kita sendiri masih boleh membawa perubahan dengan mengamalkan sekatan pergerakan kendiri, menyelamatkan diri dan keluarga,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Dr Noor Hisham, berkata langkah berkenaan penting terutama ketika beberapa varian baharu seperti Beta dan Delta, yang mempunyai kadar jangkitan dan kematian yang lebih tinggi.
“Kita sekarang dalam peperangan, dan menyelamatkan negara adalah keutamaan kita. Jika tidak, nasib kita akan jadi seperti India,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan melaporkan 5,812 kes baharu COVID-19 dikesan di seluruh negara semalam menjadikan jumlah kumulatifnya 722,659 kes.
Dr Noor Hisham dalam kenyataannya jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini kini meningkat kepada 4,803 kes selepas 82 kes kematian dilaporkan semalam.