27 JUN: Kerajaan akan terus melanjutkan tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
Justeru, Ismail Sabri berkata peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan.
“Secara keseluruhan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum disahkan hari ini,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata perkara itu juga mengambil kira situasi ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata terdapat kekeliruan mengenai peranan pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam Ops yang telah diumumkan sebelum ini.
Beliau berkata terdapat dua pembahagian tugas iaitu National Task Force yang diketuai oleh ATM menerusi Op Benteng yang melibatkan kawalan sempadan negara bersama-sama 11 agensi lain termasuk PDRM, APMM dan lain-lain.
Manakala Task Force Operasi Pematuhan pula diketuai oleh PDRM dan dibantu oleh ATM, APM, RELA, PBT dan lain-lain bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP sama ada melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) atau pemeriksaan di tempat-tempat awam.
“Kedua-dua Task Force ini telah diwujudkan sejak PKP 1.0 lagi. Setelah PKP 3.0 dilaksanakan, Task Force Operasi Pematuhan PDRM diperluaskan kepada pemeriksaan terhadap kilang-kilang yang melanggar arahan dan SOP.
“Bagi memantau dan tindakan terhadap kilang-kilang dan premis perniagaan yang melanggar perintah atau SOP, MKN menyelaras Special Task Foce yang baru diwujudkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan sudah wujud Task Force Operasi Pematuhan di bawah PDRM yang menjalankan tugas hampir sama untuk memantau pematuhan SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan, maka Sidang Khas MKN berpandangan tidak perlu diwujudkan Special Task Force lagi.
“Cukup dengan Task Force Operasi Pematuhan PDRM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Justeru, saya berharap semua pihak faham setiap pembahagian tugas dan gerak kerja yang melibatkan ATM dan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya.