Kerajaan akan laksana semula inisiatif bantu rakyat
27 JUN: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan tidak pernah berhenti membantu rakyat dan sentiasa berusaha memikirkan penyelesaian bagi memenuhi tanggungjawab itu.
Katanya, justeru terkini, kerajaan akan melaksanakan semula inisiatif membantu rakyat dan perniagaan yang diperkenalkan sebelum ini, susulan penubuhan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Dengan hadirnya PPN, inilah masa yang tepat untuk kita kembalikan inisiatif sebegini (seperti sebelum ini) bagi membantu rakyat dan perniagaan,” katanya menerusi muat naik status di Facebook, hari ini.
Zafrul berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu ini.
“Teringat kembali peristiwa tahun lalu, bila kerajaan ini pertama sekali dalam sejarah perkenalkan i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat hadapi cabaran COVID-19.
Kita adalah negara terawal di dunia memperkenalkan inisiatif sebegini. Pada mulanya digasak oleh suara-suara yang membangkang.
“Kemudiannya, ada di kalangan mereka yang sedar kesan positif pada rakyat dan mula menyokong program ini. Alhamdulillah mereka sedar,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN