27 JUN: Kerajaan mengumumkan semua premis kedai makan dan restoran di seluruh negara dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam mulai esok.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.
“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa 28 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memberi penjelasan mengenai operasi peniagaan dan pembukaan sektor ekonomi serta prosedur operasi standard (SOP) mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata SOP Fasa dalam fasa satu PPN, SOP am PKP 3.0 masih diguna pakai yang mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor-sektor perlu yang disenaraikan dalam dikeluarkan MKN.
“Antara senarai positif sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluaskan dalam Fasa Dua PPN termasuk sektor pembuatan Automotif (Kenderaan & Komponen), seramik kilang perabot bagi tujuan eksport; sektor getah dan keluli.
“Kerajaan juga akan membenarkan sektor perdagangan dan pengedaran (Kedai buku & alat tulis, komputer & telekomunikasi, barangan eletrik, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) beroperasi dalam fasa berkenaan. Kebenaran beroperasi ialah dari 8 pagi sehingga 8 malam,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.
Beliau berkata pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan PDRM.
“Operasi restoran, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kios masih beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam.
“Dalam Fasa 2, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 pagi sehingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging. Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan. – Oleh HAIKA KHAZI