27 JUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (ERHILITAN) berjaya menangkap seekor gajah liar seberat 2,000 kilogram (kg) di Kampung Ulu Seladang, Setiu, Terengganu, Khamis lalu, sebelum dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, Perak.
Gajah jantan berusia 16 tahun itu dikesan pada Rabu lalu dan ditangkap pada keesokan harinya sebelum dibawa ke hutan simpan pada semalam.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata PERHILITAN mengambil masa kira-kira tujuh jam bagi mengeluarkan gajah berkenaan dari kawasan kebun milik penduduk kampung.
Beliau berkata proses pemindahan gajah jantan itu dibantu dua gajah denak bernama ‘Suria’ dan ‘Kala’ yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bagi tujuan ‘memujuk’.
Katanya, operasi pemindahan gajah terbabit menghadapi kesukaran berikutan laluan ke kawasan terbabit yang berbukit dan licin sepanjang enam kilometer.
“Kita mula menarik gajah berkenaan pada jam 8 pagi dan sehingga jam 3 petang jarak lebih kurang 300 meter.
“Kawasan berkenaan agak berbukit menyebabkan operasi memindahkan gajah berkenaan agak sukar, namun akhirnya kita berjaya menarik gajah berkenaan ke atas sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata operasi pemindahan gajah berkenaan membabitkan 30 pegawai dan kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Terengganu dan Johor serta PERHILITAN Terengganu.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata pihaknya akan melakukan pemantauan di kawasan kebun sekitar berikutan dakwaan masih terdapat baki mamalia tersebut.
Terdahulu kehadiran gajah yang mengancam dan merosakkan tanaman penduduk itu meresahkan pekebun sejak Mei lalu.
Difahamkan, gajah liar itu mula dikesan memasuki kawasan kebun milik penduduk pada 31 Mei lalu dengan kejadian terbaharu berlaku pada 23 Jun sehingga menyebabkan tiga pekebun menanggung kerugian hampir RM10,000.