27 JUN: Kerajaan umum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Nahaba Tegudon
dan Kampung Linau, Kota Belud, Sabah, berkuat kuasa mulai 29 Jun hingga 12 Julai 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan terpaksa melaksanakan PKPD di dua lokaliti berkenaan berkenaan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes COVID-19 di kawasan terbabit.
Beliau berkata KKM mendapati terdapat sembilan kes positif daripada 48 ujian saringan dijalankan di Kampung Nahaba Tegudon dan 11 kes positif direkodkan dari 15 ujian saringan yang dilaksanakan di Kampung Linau.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju PKPD di Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau, berkuat kuasa 29 Jun sehingga 12 Julai 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes-kes positif dan kontak rapat supaya dapat diasingkan serta menyekat pergerakan dan penularan jangkitan keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.
Dalam pada itu Ismail Sabri juga mengesahkan bahawa PKPD di Kampung Penimbawan, Tuaran, Sabah, yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan 14 hari lagi hingga 12 Julai ini.
Sementara itu, Ismail Sabri juga mengesahkan seramai 798 individu ditahan polis kerana melanggar SOP PKP di seluruh negara semalam termasuk 762 daripadanya dikompaun, 24 direman dan 12 lagi dijamin.
Beliau berkata antara kesalahan direkodkan tiada penjarakan fizikal (172); tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (119); gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (114); tidak memakai pelitup muka (108); bawa penumpang berlebihan (69) dan lain-lain (216).
“Pihak berkuasa juga menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.
“Kita juga mengesan 149 buah bot/kapal di perairan negara melalui lapan (8) aktiviti penglihatan dan mengusir tiga PATI melalui satu (1) aktiviti pengusiran, semalam,” katanya.