27 JUN: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengesahkan beliau dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, pada Selasa ini.
Rais berkata beliau tidak menolak kemungkinan Al-Sultan Abdullah memanggilnya dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara bagi membincangkan isu persidangan Parlimen.
“Ya kami dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jun ini. Saya fikir sesi ini menjurus kepada hal ehwal persidangan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media, hari ini.
Dalam pada itu Rais berkata, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua bagi kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan memastikan persidangan itu berlangsung.
“Yang di-Pertuan Agong adalah ketua puncak bagi kedua-dua dewan dan mempunyai tanggungjawab kenegaraan untuk melihat dua dewan itu berjalan dengan baik.
“Itu isu penting ketika ini dan kita akan lihat bila waktu terbaik untuk diadakan sidang Parlimen nanti,” katanya.
Rais dan Azhar Azizan dalam kenyataan bersama sebelum ini dilaporkan berkata, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan akhir Ogos ini atau selewat-lewatnya minggu pertama September.
Mereka berpendapat, tarikh itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan semua aspek perundangan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat terlebih dahulu, dijangka pada akhir Julai.
Kenyataan itu memaklumkan dengan andaian terbabit, dicadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan awal Ogos tertakluk prosedur operasi standard (SOP) ketat dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).