27 JUN: Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik menutup serta-merta kilang dan premis yang menjadi pencetus kluster tempat kerja selama dua minggu.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Senator Khairil Nizam Khirudin berkata tindakan berkenaan perlu berikutan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang mengesahkan bahawa sembilan daripada 14 Kluster baru COVID-19 di Malaysia semalam adalah membabitkan tempat kerja.
“Setelah melihat kepada pola kluster seperti yang dilaporkan saban hari, Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa “Kluster Tempat Kerja” ini mestilah dihentikan dan operasi perkilangan yang dikenal pasti hendaklah ditutup serta-merta selama dua minggu.
“Kegagalan sektor perkilangan mematuhi SOP telah membantutkan usaha kerajan memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda PAS berkata kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, berjaya.
Beliau berkata Pemuda PAS juga mencadangkan agar pihak Majlis Keselamatan Negara mengambil strategi “Lockdown Bersasar” yang lebih ketat dan melonggarkan SOP di daerah-daerah yang bersatus hijau.
“Rakyat yang patuh pada SOP tidak harus dihukum akibat kegagalan pihak lain. Saya yakin kerajaan mampu membuat keputusan terbaik demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.