28JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan sekarang bukanlah waktu yang sesuai bagi para peniaga dan pihak industri menaikan harga makanan dan perkhidmatan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah tersebut hanya akan menambah beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik wabak COVID-19.
“KPDNHEP bertanggungjawab untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.
“KPDNHEP juga komited bagi memastikan kelangsungan ekonomi domestik dapat berjalan dengan baik meskipun negara berhadapan dengan cabaran penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas permohonan beberapa syarikat dan industri yang berhasrat untuk menaikkan harga produk keluaran mereka.
Mengulas lanjut berkenaan permohonan tersebut, Alexander memaklumkan, ia melibatkan pelbagai jenis produk makanan dan bahan makanan serta barangan keperluan harian yang lain.
Justeru beliau menyeru semua pihak, termasuk komuniti peniaga dan pengguna, untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Perkara ini perlu kita tumpukan terutamanya dalam menurunkan kes harian dan meningkatkan kecapaian imunisasi kelompok.
“Kementerian juga telah memohon kepada kerajaan untuk menyegerakan program imunisasi, khusus untuk barisan hadapan ekonomi.
“Ini perlu supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila semua yang terlibat telah menjalani imunisasi sepenuhnya,”katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH