28 JUN: Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.
Muhyiddin berkata langkah berkenaan membolehkan rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.
“Bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.
“Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, Kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion,” katanya dalam perutusan sempena pengumuman Pakej PEMULIH hari ini.
Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, mengumumkan kerajaan kekalkan kadar tarif bil elektrik bagi 9.44 juta pemegang akaun domestik dan industri Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah, dari 1 Julai hingga 31 Disember ini.
Berikutan itu, kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Shamsul Anuar berkata, kerajaan berbuat demikian dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVOD-19.
Beliau berkata langkah itu membolehkan semua pemilik akaun TNB yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021,
Katanya, pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak 5 peratus bagi tempoh tersebut.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga mengumumkan Bantuan Khas Taska berjumlah RM3,000 kepada 4,400 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Muhyiddin berkata bantuan berkenaan juga membabitkan, 8,000 pengusaha taman didikan kanak-kanak (TADIKA) swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata pemberian bantuan itu dapat digunakan untuk pelbagai tindakan antaranya keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyah kuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika.
“Kerajaan juga bersetuju memberi bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gimnasium, boling, futsal yang turut terkesan dan hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kerajaan turut bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada semua pengusaha kantin berdaftar,” katanya.