28 JUN: Sebanyak 2,047 buah kilang dan 11,899 premis perniagaan telah diperiksa oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam.
Daripada jumlah itu, lapan premis telah diarahkan tutup kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0.
“Seperti yang diumumkan beberapa hari lepas, Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan.
“Ini kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, secara kumulatifnya, sebanyak 88,238 pemeriksaan telah dilakukan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 20,114 orang.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam menunjukkan peningkatan kepada 886 berbanding 798 kelmarin.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera memaklumkan daripada keseluruhan tangkapan, seramai 779 individu dikompaun manakala 87 orang lagi telah direman.
“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis sebanyak 229 kes dan tidak memakai pelitup muka sebanyak 154 kes.
“Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (151), inividu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (88), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81), membawa penumpang berlebihan (50), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (103),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH