28 JUN: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik kesediaan kerajaan memenuhi lima tuntutan utama rakyat menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 billion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, lima perkara itu merupakan keperluan bagi memenuhi kelangsungan hidup dalam tempoh berkurung sepanjang 48 hari di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Beliau berkata, antara perkara utama adalah kerajaan telah menyediakan peruntukan khas tambahan sebanyak RM10 bilion yang merupakan bantuan tambahan tunai langsung kepada rakyat seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).
“Moratorium automatik yang turut diperluaskan kepada semua golongan termasuk B40, M40, T20 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) cuma diharapkan dapat memastikan bank-bank tidak mengenakan sebarang faedah atau caj tambahan yang pasti membebankan rakyat.
“Pemuda UMNO Malaysia juga menyambut baik pengenalan inisiatif i-Citra KWSP menggantikan i-Sinar dengan jumlah siling pengeluaran simpanan RM5,000 (diberi secara RM1,000 sebulan). Diharapkan juga dapat dipermudahkan dan disegerakan segala urusan pengeluaran.
“Keputusan kerajaan untuk menyediakan diskaun bil utiliti juga disambut baik kerana ianya akan memberi manfaat kepada isi rumah terbanyak,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion termasuk RM10 bilion adalah suntikan langsung fiskal kerajaan.
Muhyiddin berkata, pelaksanaan PEMULIH adalah bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
Beliau berkata, selaras dengan komitmen itu kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion.
Perdana Menteri berkata, bantuan tunai langsung berkenaan merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR, Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengharapkan agar Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar menggandakan usaha bagi memastikan bekalan barangan asas keperluan seperti minyak masak mencukupi dan terkawal.
“Pemuda UMNO Malaysia akan terus memantau bagi pihak rakyat agar pelaksanaan bagi setiap inisiatif ini dapat disegerakan serta tidak tersekat oleh kerenah birokrasi yang menyulitkan berdasarkan pengalaman pakej-pakej bantuan sebelum ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH