28 JUN: Pemberian moratorium secara automatik kepada semua peminjam dan kebenaran pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menerusi pakej i-Citra membuktikan kerajaan mendengar luahan hati rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dan penularan COVID-19.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya menyambut baik pengumuman pakej PEMULIH yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata ARMADA amat bersyukur kerana dua isu yang diangkat kepada Kerajaan Malaysia telah diterima baik dan diintegrasikan sebagai sebahagian daripada pakej tersebut iaitu moratorium automatik sehingga hujung tahun serta pengeluaran simpanan KWSP untuk mereka yang layak.
“Langkah-langkah yang diumumkan amatlah kritikal untuk mengekalkan kecairan dalam ekonomi di akar umbi, memelihara asas ekonomi daripada risiko keruntuhan (meltdown), serta membuat persediaan untuk memacu fasa pemulihan apabila ekonomi dibuka secara beransur-ansur nanti.
“Untuk menyokong PEMULIH, rangkaian ARMADA di seluruh Malaysia sedia main peranan melalui program #ArmadaPrihatin dan usahasama dengan rakan sayap pemuda Perikatan Nasional untuk membantu rakyat khususnya peniaga kecil-kecilan dan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS mikro) untuk mendapatkan manfaat daripada program-program yang ditawarkan.
“Sekali lagi ARMADA Bersatu Malaysia berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin atas keprihatinan kepada keluh kesah rakyat dan mendengar pandangan-pandangan yang diutarakan sepanjang beberapa libat urus yang kami pelopori sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, pula berkata pengumuman pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar luahan hati rakyat terkesan akibat COVID-19.
Sahruddin berkata beliau berharap pengumuman berkenaan akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Justeru, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik mahupun kaum dapat bersama-sama kerajaan dalam mendepani cabaran COVID-19, sekali gus menjaya Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.