29 JUN : Kerajaan memutuskan pembukaan kaunter perkhidmatan di seluruh negara yang akan mula beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai ini.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, perkhidmatan kaunter kerajaan ketika ini tidak beroperasi secara fizikal dalam tempoh Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara, kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan kastam, imigresen serta kuarantin sejak 1 Jun 2021.
“Bagaimanapun, setelah meneliti keperluan pembukaan kaunter perkhidmatan Kerajaan yang mendesak berdasarkan maklum balas awam, maka kerajaan memutuskan untuk membuka kaunter perkhidmatan Kerajaan secara fizikal.
“Pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan ini akan dilaksanakan mengikut tatacara di mana perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus dan kehadiran secara fizikal hanya melalui temu janji berjadual,” jelas beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Zuki meminta semua Ketua Jabatan memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kosihatan Malaysia dipatuhi setiap masa dalam mengimbangi penyampaian perkhidmatan yang optimum kepada pelanggan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat bertugas.