29 JUN: Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Rizuan Rahmat meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh petang tadi.
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS) dalam kenyataan berkata, Allahyarham merupakan seorang yang banyak berjasa dalam memperjuangkan agama Islam di Malaysia terutama di Selangor.
“BPPNS mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Al Fadhil Ustaz Rizuan Rahmat, Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sungai Buloh sebentar tadi.
“Allahyarham juga Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat yang banyak menyumbang kepada perjuangan Islam di dalam negara kita khususnya di negeri Selangor,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu, BPPNS turut memanjatkan doa buat Allahyarham supaya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
“Didoakan semoga ALLAH SWT memberi kekuatan kepada ahli keluarga Allahyarham dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.