MAFI teruskan skim pembiayaan mikrokredit di bawah PEMULIH
29 JUN: Bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit diteruskan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan tambahan dana berjumlah RM500 juta di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan skim ini adalah sebanyak RM850 juta termasuk peruntukkan sebanyak RM350 juta sebelum ini di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi
Negara (PENJANA) yang disediakan.
Menurut beliau, usaha ini dilihat sebagai bantuan kewangan kepada usahawan mikro terutamanya pengusaha agromakanan dibawah kategori B40 yang terlibat dengan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.
“Skim ini boleh digunakan untuk mendapatkan semula modal pusingan untuk memulakan kembali perniagaan yang terjejas serta sebagai modal permulaan kepada usahawan baru yang ingin menceburi bidang agromakanan.
“Selain itu, inisiatif memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian juga telah diumumkan.
“Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.
“Ini selaras dengan usaha MAFI yang memberikan penekanan yang lebih bagi penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik, aplikasi berasaskan Internet of Things (IoT) dan sebagainya sejajar dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Ronald memaklumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mensasarkan lebih 300,000 peniaga mikro termasuk peniaga pasar tani untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai juga akan diteruskan menerusi Kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding
“Inisiatif ini akan terus mengalakkan
penyertaan pengusaha agromakanan ke platform dalam talian yang efektif dalam menembusi pasaran yang lebih luas sepertimana yang sedang dilaksanakan MAFI sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ini termasuk usaha pemadanan pengeluar dan pengusaha hasil pertanian di bawah Jabatan dan Agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dan syarikat-syarikat e-dagang, “katanya.
Sementara itu, Ronald menegaskan Kementerian sedang bekerjasama dengan beberapa platform e-dagang bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian secara pukal sekaligus meningkatkan jualan dan pendapatan mereka.
Beliau berkata, MAFI akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudahcara dalam menjayakan setiap pakej ekonomi yang diumumkan bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi.
“Bantuan-bantuan bersasar di bawah pakej PEMULIH akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dalam semua bidang termasuk sektor agromakanan dan secara langsung dapat membantu golongan terkesan.
“Terutamanya mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan yang berada dalam kategori B40 untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH