28 JUN: Selari dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), bank-bank akan menawarkan moratorium selama enam bulan kepada para peminjam meliputi bayaran ansuran semua kemudahan kredit kecuali kad kredit.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menerusi kenyataan bersama berkata, golongan yang layak ialah semua peminjam individu termasuk golongan B40, M40 dan T20.
Selain itu, kedua-dua persatuan itu memaklumkan, semua perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dengan pandemik COVID-19 akan layak mendapat moratorium tersebut.
“Untuk kad kredit, bank akan menawarkan untuk menukarkan baki tunggakan kepada pinjaman atau pembiayaan selama tiga tahun dengan kadar keuntungan atau faedah dikurangkan bagi membantu peminjam menguruskan hutang mereka dengan lebih baik.
“Di bawah skim ini, peminjam hanya perlu menghubungi bank mereka untuk memilih moratorium ini dan kelulusan akan diberi secara automatik kepada semua peminjam yang termasuk dalam kategori dinyatakan.
“Bank komited untuk menjadikan prosesnya semudah dan selancar yang boleh tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan,” katanya.
ABM dan AIBIM juga menjelaskan moratorium automatik itu terpakai untuk pinjaman atau pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.
Tambah persatuan tersebut, peminjam atau pelanggan yang ingin mengambil moratorium ini perlu menghubungi bank mereka terlebih dahulu bermula 7 Julai ini.
“Oleh kerana sekatan pergerakan masih diteruskan, peminjam atau pelanggan amat digalakkan untuk menghubungi bank mereka melalui saluran digital rasmi seperti laman web bank, e-mel atau melalui telefon.
“Sekiranya tidak dapat menggunakan saluran digital bank, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk mengemukakan permohonan untuk moratorium.
“Namun, mereka disarankan untuk memeriksa terlebih dulu di laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan waktu operasi atau pengaturan untuk perkhidmatan di kaunter berikutan sekatan pergerakan yang masih berjalan,” katanya.
Sementara itu, bank, kata ABM dan AIBIM, akan berusaha untuk memproses semua permintaan moratorium secepat mungkin.
“Namun memandangkan jumlah permintaan yang besar dan kekangan akibat sekatan pergerakan terhadap protokol kerja, mungkin terdapat beberapa cabaran operasi pada permulaannya.
“Peminjam atau pelanggan tidak perlu bimbang dengan komitmen penuh oleh ahli bank untuk memastikan semua masalah akan ditangani tepat pada waktunya.
“Selain itu, seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam atau pelanggan akan kekal tidak terjejas dengan pemilihan moratorium ini. Justeru, mereka tidak perlu bimbang dengan kesan terhadap profil kredit masa depan mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH