29 JUN: Kerajaan akan memperuntukan keseluruhan RM930 juta manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM50 juta bagi memberikan rebat 2 sen/kWj dan diskaun bayaran bil kepada pengguna domestik dan komersial di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun ini.
Berikutan itu seramai 2.9 juta pengguna domestik di Semenanjung yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun sebanyak 40 peratus susulan pengumuman Pakej PEMULIH oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 1.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan
di antara 201 hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun sebanyak 15 peratus.
Beliau berkata, seramai 2.4 juta pengguna domestik dengan penggunaan elektrik di antara 301 hingga 600kWj akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus.
Manakala kira-kira 7,000 pengguna domestik dengan penggunaan elektrik di antara 601 hingga 900kWj akan menerima diskaun sebanyak 5 peratus.
“Diskaun ini akan diberikan bagi bil elektrik bulan Julai, Ogos dan September 2021.
“Bagi pengguna bukan domestik di Semenanjung pula, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan diskaun sebanyak 5 peratus pengguna elektrik di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian di bawah voltan rendah.
“Dengan pemberian diskaun ini, Kerajaan berharap ia akan dapat membantu pengusahapengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi.
Dalam pada itu, jelas Shamsul Anuar, pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus akan terus menerima diskaun sebanyak 10 peratus dalam masa sama.
Mengulas lanjut, diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna elektrik di Semenanjung ini akan dibiayai secara bersama oleh kerajaan sebanyak RM413 juta dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Beliau berkata pengguna elektrik di Sabah pula, akan menikmati diskaun bil elektrik secara bersasar bagi tempoh tiga bulan, bermula pada 1 Julai hingga 30 September 2021 akan.
“Seramai 220,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun sebanyak 40 peratus manakala 90,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 201 hingga 300kWj akan menerima diskaun sebanyak 15 peratus.
“Kira-kira 110,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 301 hingga 500kWj akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus dan 90,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 501 hingga 1000kWj akan menerima diskaun sebanyak lima peratus,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan kerjasama TNB untuk memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0 Fasa 1.
TNB juga menurut beliau akan menangguhkan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik
yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 September 2021.
“Selain itu TNB juga menyediakan Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya.