29 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin turut menyemarakkan kempen kibarkan #benderaputih bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan.
Perkongsian kempen itu dilakukannya di laman Facebook Zuraida Kamaruddin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang memberitahu, sebagai kerajaan, pihaknya sedang buat sehabis baik dengan menyediakan bakul makanan serta pelbagai bantuan tambahan kepada seramai mungkin penduduk khususnya di kawasan Parlimen Ampang yang telah dikenal pasti.
“Hasil makluman penduduk Ukay Perdana kepada saya tadi, terdapat satu bendera putih yang dikibarkan di kawasan tersebut. Bantuan telah disalurkan. Semoga ia bermanfaat dan kita fokus bantu sesama kita.
“Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan orang ramai dalam menyalurkan maklumat,” katanya.
Menurut beliau wakil Pejabat Parlimen Ampang telah turun bagi menyampaikan sumbangan Bakul makanan, komputer riba dan pemasangan Routers internet kepada Aizah Dollah dan cucunya untuk kegunaan PdPR di rumahnya.
“Saya amat mengerti tempoh PKP 3.0 pastinya memberi kesan serta menekan kehidupan sesetengah pihak.
“Ada yang terjejas pendapatan, malah ada juga yang kehilangan pekerjaan. Saya juga sedar keperitan ini turut dirasai oleh penduduk Parlimen Ampang,” katanya lagi.