30 JUN: Ketua Misi Kemanusiaan ke Palestin, ‘Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dan 17 anggota pasukannya dijangka memasuki kawasan Gaza bila-bila masa sahaja.
Ahli Parlimen Baling itu dalam satu kenyataannya berkata, segala dokumen dan surat permohonan kelulusan sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa Mesir dan Palestin.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, berkata fokus utama misi adalah bagi memastikan semua bantuan makanan dan peralatan perubatan diterima oleh mangsa perang di khemah perlindungan di Gaza.
“Kami sudah bertungkus lumus sejak sebulan lepas. Di mata kami, terbayang wajah anak anak Palestin yang menderita.
“Apabila kami tiba di Cairo, semangat ingin membantu ini bertambah kuat, apatah lagi selepas kami melihat sendiri penderitaan yang dialami mangsa kekejaman zionis di Hospital Palang Merah Cairo dan Hospital Palang Merah Palestine,” katanya dalam satu kenyataan.
Ditanya, apakah beliau dan anggota misi tidak penat membantu rakyat Palestine ini, Azeez berkata: “Mereka (rakyat Palestin) adalah bersaudara dengan kita di Malaysia.
“Setitik darah mereka tumpah di Gaza atau di mana saja tempat di Palestine, deritanya sama dirasai di Malaysia.
“Ada mereka yang sama agama, ada yang tidak sama, tetapi apabila perut rakyat Palestin dirobek peluru, kepala ditendang dan disepak dengan kejam oleh askar Israel, rumah dibakar dan mereka diusir keluar, kita di Malaysia akan bangkit melawan kekejaman itu. Kita adalah brotherhood, kita satu perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Berikutan itu beliau meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan anggota misi masuk ke Gaza dan selamat kembali ke Malaysia.