30 JUN: Angka korban akibat penularan COVID-19 kini mencecah 5,170 orang termasuk 62 individu lagi disahkan meninggal dunia hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini seramai 682,680 orang atau 90.8 peratus pesakit COVID-19 di Malaysia dilaporkan sudah sembuh.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham mengesahkan terdapat 64,129 kes masih aktif termasuk 905 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 452 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
“KKM juga ingin melaporkan bahawa terdapat 62 lagi kes kematian hari ini dengan 59 daripada mereka yang meninggal dunia hari ini ialah rakyat tempatan, manakala bakinya warga asing.
“Selangor terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 22 kes, diikuti Negeri Sembilan (9), Melaka (7), Kuala Lumpur (5), Johor (4), Sabah dan Pahang masing-masing tiga, manakala Kelantan, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur pula masing-masing dua, selain satu di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Noor Hisham melaporkan sebanyak 6,276 kes baharu COVID-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu , sekali gus menjadikan kumulatif kes positif ialah 751,979 kes
“Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes baharu dengan 2,836 kes, diikuti Negeri Sembilan sebanyak 644 kes.
“Selain itu Kuala Lumpur (625), Sarawak (376), Johor (299), Sabah (242), Kedah (226), Melaka (223), Pahang (210), Kelantan (159), Perak (137), Labuan (132) dan Pulau Pinang (131).
“Dua negeri mencatat kes dua digit iaitu Terengganu dengan 20 kes baharu dan Putrajaya merekodkan 11 kes manakala Perlis hanya mempunyai lima kes baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga mengesahkan bahawa sehingga 2,844 kluster COVID-19 kesan KKM termasuk 23 kluster dilaporkan hari ini iaitu 13 kluster tempat kerja, lapan komuniti dan masing-masing satu berkaitan kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan.