30 JUN: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memohon maaf atas kekhilafan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kebun durian di Batu Pahat, Johor, Ahad lalu.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, beliau memohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan menyerahkan siasatan lanjut serta berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada polis.
“Kekeliruan timbul apabila terdapat beberapa media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan itu tanpa menonton sendiri video pada awalnya.
“Selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk menganalisa video yang terkait dengan saya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, video berdurasi 13 saat yang memaparkan Mohd Rashid sedang menikmati buah durian di sebuah kebun tular dan menimbulkan kemarahan ramai berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk tiada penjarakan sosial dan berkumpul dalam jumlah yang ramai.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 berikutan terdapat laporan mengenai kejadian itu.
Mengulas lanjut, Mohd Rashid menjelaskan sejak PKP pertama hingga kini, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka.
“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam, ia adalah lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini.
“Kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin ke Batu Pahat. Oleh itu, kami menghadiahkan durian kepada rombongan Menteri untuk dibawa pulang,” katanya.
Selepas rombongan Menteri pulang, beliau telah dibawa ke kebun oleh seorang pengusaha pada waktu petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.
“Sampai di kebun, pengusaha kebun durian berkenaan menghidangkan durian kepada kami dan saya hanya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan.
“Selepas perbincangan tamat, saya terus meninggalkan program awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH