Moratorium:Pastikan Bank Tidak Ambil Kesempatan-DPIM
30 JUN: Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan agar melaksanakan penambahbaikan dengan kadar segera agar tiada pihak bank yang akan mengambil kesempatan di atas pengemumuman motatorium automatik menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, perkara ini perlu dilakukan susulan terdapat bank yang bersetuju dengan moratorium enam bulan, namun memanjangkan tempoh bayaran pinjaman kepada 12 hingga 24 bulan dengan kadar faedah pinjaman.
”DPIM menyelar tindakan mengambil kesempatan di kala kesempitan yang dialami rakyat yang kini kian terhimpit dengan desakan hidup, termasuk golongan M40, khususnya mereka yang menetap di bandar.
“Golongan usahawan PKS juga turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan terjejas. Lebih 600,000 isi rumah daripada golongan pendapatan M40 telah jatuh ke kategori B40 disebabkan krisis COVID-19 yang menjejaskan paras pendapatan penduduk Malaysia.
“Walau bagaimanapun, saya menyifatkan pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Isnin lalu sebagai menyeluruh untuk pelbagai lapisan rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Isnin lalu mengumumkan PEMULIH dengan pemberian maratorium selama enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam tanpa syarat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian itu membabitkan semua sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro yang menjadi antara aspek penting yang ditekankan dalam pakej rangsangan terbaharu kerajaan.
Moratorium selama enam bulan yang akan ditawarkan bermula 7 Julai ini akan membabitkan nilai keseluruhan pakej RM80 bilion.
Dalam pada itu, Adnan memaklumkan berdasarkan kajian dan maklumat Jabatan Statistik, sekurangnya-kurangnya lapan peratus daripada 7.28 juta isi rumah yang dilaporkan mengalami kemerosotan pendapatan ke bawah paras pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra adalah bersesuaian agar sewa dapat dibayar dan makanan masih dapat disediakan di atas meja, walaupun tiada pendapatan dalam Fasa 1 yang semakin mencabar.
“Kemungkinan Fasa 1 akan lebih lama daripada 45 hari PKP penuh 1.0 tahun lepas dan DPIM yakin kerajaan berusaha meringankan beban rakyat dengan mengumumkan bantuan segera ini.
”Penambahbaikan mungkin diberikan pilihan untuk membuat pengeluaran secara sekali gus RM5,000 agar ianya boleh dijadikan modal perniagaan kecil-kecilan.
“Dengan bantuan ekonomi ini, kini semua pihak boleh menumpukan seluruh tenaga untuk kita melandaikan kes harian Covid-19 agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat,” katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH