1 JULAI: Sebanyak tiga kilang dan 10 premis perniagaan telah diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau memaklumkan, ia berikutan pemeriksaan daripada pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, di mana sebanyak 2,133 kilang dan 11,369 premis perniagaan telah diperiksa.
“Seperti yang diumumkan, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Justeru, hasil daripada pemeriksaan pada semalam, sebanyak tiga kilang dan 10 premis telah diarahkan tutup selain 12 tangkapan telah direkodkan kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.
“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 98,376 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,701 orang,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam menunjukkan penurunan kepada 549 berbanding 600 kelmarin.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera memaklumkan daripada keseluruhan tangkapan, seramai 535 individu dikompaun manakala 14 orang lagi telah direman.
“Kesalahan tertinggi direkodkan semalam ialah mereka yang rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis sebanyak 100 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 98 kes.
“Kesalahan lain yang turut direkodkan adalah individu gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (95), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94), tidak memakai pelitup muka (87), membawa penumpang berlebihan (42), premis gagal patuhi arahan (14) dan lain-lain (19),” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 538 daripada 237,455 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai tahun lalu, masih menjalani kuarantin wajib.
“Seramai 8,705 individu telah dikuarantin dan 225,871 orang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing manakala 2,879 lagi dibawa ke hospital.
“Sebelum itu, mereka ditempatkan di 70 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH