1 JULAI: Penyelesaian pandemik COVID-19 mesti dijadikan fokus utama dalam persidangan Parlimen, di mana perkara itu merupakan persoalan hidup mati rakyat serta survival kemudahan kesihatan negara.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata, perkara ini perlu dilakukan oleh semua ahli Parlimen memandangkan kes positif baharu masih membimbangkan dan dikhuatiri sistem kemudahan kesihatan negara akan lumpuh.
“Justeru, Ahli Parlimen perlu mencari jalan dan mengemukakan idea serta perbincangan ikhlas secara terbuka tanpa mengira perbezaan politik dan fahaman. Kerajaan dan pembangkang mesti bersatu hati dalam persoalan ini.
“Persoalan dan perbezaan ideologi politik mesti ditolak jauh. Matlamat mesti dicapai adalah pandemik COVID-19 dikurangkan, akhirnya dihapuskan dalam tempoh sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd Noor menegaskan kedudukan ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang sukar perlu menjadi matlamat penting persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata, persoalan itu perlu difikirkan oleh setiap ahli Parlimen daripada pembangkang dan kerajaan yang mesti bertindak sebagai anggota berusaha secara ikhlas serta terbuka menyelesaikan kemelut ekonomi negara.
“Pertumbuhan ekonomi belum dapat dikembalikan dalam keadaan normal seperti sebelum COVID-19, apatah lagi dengan pelaburan asing merosot. Ini menyebabkan peluang pekerjaan menurun dan kadar pengangguran meningkat.
“Tidak mustahil dengan lebih 200 ahli Parlimen pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman akan berjaya menghasilkan idea bernas bagi membina serta memperbaiki ekonomi negara
“Persoalan kehidupan rakyat tertekan akibat pandemik dan keadaan ekonomi negara perlu dijadikan agenda pertama serta terpenting kepada setiap ahli Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Mohd Noor memberitahu rakyat sudah pastinya akan memberikan sokongan kepada ahli Parlimen berjiwa ikhlas dan mengeluarkan idea positif memperbaiki kehidupan tertekan.
Pada masa sama, beliau menegaskan seandainya masih ada ahli Parlimen berfikiran sempit dan mementingkan diri sendiri serta mengamalkan politik jangka pendek, pemimpin itu pastinya akan ditolak pengundi pada Pilihanraya Umum (PRU) yang akan datang.
“Persidangan Parlimen perlu mengelak sebarang persoalan boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara. Elakkan sebarang usul memungkinkan wujudnya usul ‘undi percaya’ atau ‘tidak percaya’ kepada pimpinan sekarang.
“Persoalan percaturan parti politik akan sampai masanya apabila COVID-19 reda. Percaturan parti politik dan pilihan raya umum (PRU) lebih diterima rakyat apabila pandemik berkurangan dan kehidupan rakyat semakin pulih,” katanya.
Mohd Noor turut menjelaskan semua pihak perlu menerima persidangan Parlimen akan dilaksanakan secara hibrid berikutan proses pelaksananaanya sesuai dilakukan mengikut situasi semasa.
“Penyesuaian tepat tanpa melanggar garis peraturan dan peruntukan undang-undang negara perlu dilakukan. Apa yang lebih penting adalah matlamat persidangan itu tercapai. Persidangan adalah prosesnya, intinya adalah matlamat ingin dicapai.