1 JULAI: Persidangan Parlimen yang akan dibuka tidak lama lagi harus dijadikan medan bagi mencari penyelesaian terbaik pandemik COVID-19 dan bukan menjadi tempat untuk para pemimpin bertikam lidah antara satu lain.
Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ahli-ahli Parlimen perlu mengemukakan idea secara terbuka tanpa mengira perbezaan politik dan fahaman di samping kerajaan dan pembangkang mesti bersatu hati dalam persoalan menjaga kebajikan rakyat.
Menurut beliau, ia turut disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kepimpinan politik di negara ini memberi tumpuan penuh bagi menyelesaikan permasalahan rakyat menerusi persidangan Parlimen.
“Sekiranya Parlimen dibuka, setiap ahli Parlimen perlu membawa isu-isu rakyat masing-masing mengikut keadaan semasa yang terjadi di kawasan mereka khususnya perkara berkaitan pandemik. Lakukan secara profesional dan tidak bertikam lidah seperti sidang-sidang Parlimen yang lepas,” katanya.
Justeru, beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA menegaskan perkara berkenaan pandemik COVID-19 ini perlu menjadi tumpuan setiap ahli Parlimen dan inilah masanya mereka perlu mengetepikan serangan-serangan politik peribadi di Dewan Rakyat.
“Nasihat saya persidangan Parlimen akan datang ini adalah lebih baik tanpa serangan peribadi atau membawa isu-isu yang tidak berkaitan. Kita faham politik Malaysia sangat panas.
“Ada yang tunggu Parlimen ini dibuka untuk menyerang namun kalau tanggapan ini masih ada dari kalangan ahli Parlimen, ianya harus diabaikan dan hanya fokus kepada kebajikan rakyat,” katanya kepada PN BBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berpandangan ini bukanlah masa yang sesuai bagi sesetengah ahli untuk membawa usul undi tidak percaya kepada kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, persidangan kali ini adalah waktu tepat bagi setiap Ahli Parlimen membawa isu-isu yang dihadapi rakyat agar satu penyelesaian dapat dilaksanakan bersama tidak kira kerajaan mahupun pembangkang di samping mampu menjadi medan terbaik untuk penyampaian maklumat kerajaan khususnya mereka yang tinggal di luar bandar.
“Dengan persidangan Parlimen, ini cara terbaik untuk segala bantuan dan inisiatif kerajaan dapat difahami oleh rakyat kerana ahli Parlimen akan menyalurkan maklumat ke bahagian atau kawasan mereka setelah perkara itu difahami dan diputuskan secara bersama di Dewan Rakyat.
“Diharapkan semua ahli Parlimen khususnya pembangkang memainkan peranan mereka dengan sebaiknya. Ini juga merupakan medan terbaik untuk pembangkang menyampaikan idea mereka dan lupakan dulu soal poltik dan bersama-sama mencari jalan menyelesaikan kebajikan rakyat serta membangunkan semula ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Nizam mencadangkan agar setiap wakil rakyat membuka satu saluran khas buat orang ramai untuk mengadu secara dekat mahupun mendapatkan bantuan secara terus daripada pemimpin mereka.
“Kempen kibar bendera putih ini kita sambut baik namun ia sesuai untuk dilaksana bagi golongan pertengahan namun bagi mereka yang dahulunya mungkin dikenali dan pernah menjadi T40 mungkin malu untuk gantung bendera putih.
“Jadi, setiap wakil rakyat perlu pandang perkara ini secara luas dan mendalam untuk mewujudkan saluran khas bagi golongan ini meminta bantuan di kawasan mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH