2 JULAI: Kadar kes positif harian COVID-19 di Selangor terus meningkat hari ini menghampiri angka 3,000.
Selangor mencatatkan kes 2,907 hari ini berbanding semalam 2,885 kes sekali gus menyumbang kepada keseluruhan kes harian iaitu 6,982 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata Selangor kekal sebagai negeri mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,907 kes diikuti Kuala Lumpur (637 kes) dan Negeri Sembilan (606 kes).
Beliau berkata ini diikuti oleh Johor (517), Sarawak (440), Pulau Pinang (351), Pahang (329), Kedah (257), Sabah (230), Melaka (202), Perak (182), Labuan (131) dan Kelantan (129).
“Tiga negeri mencatatkan jumlah kes bawah tiga angka ialah Terengganu (44), Putrajaya (20) dan Perlis sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) merangkumi Selangor dan Kuala Lumpur susulan trend peningkatan jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu perlu kerana Selangor dilaporkan mempunyai purata kes harian antara 1,800 hingga 1,900 kes manakala Kuala Lumpur 600 ke 1,000 kes.