2 JULAI: Walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) berusaha mengembleng tenaga bagi membebaskan negara dari pandemik COVID-19 namun pembangkang dilihat hanya berminat menggugat kedudukan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, biarpun Yang di-Pertuan Agong dan rakyat mahukan semua pihak berhenti berpolitik, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya masih rakus ingin merampas kuasa.
“Saya syak Anwar dan anak-anak muridnya begitu galak menyokong kali ini kerana sudah tidak sabar untuk menyambung usaha menggugat kestabilan negara demi untuk merampas kerajaan.
“Saya seperti juga barisan pemimpin yang lain merafak sembah mendokong titah Agong. Perdana Menteri juga sudah mengumumkan bahawa sidang Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai jaminan dan komitmen Anwar dan penyokongnya bahawa sidang Parlimen yang akan diadakan itu wajib digunakan untuk membincangkan isu rakyat dan bukan untuk mengejar impian politik peribadi dengan cara menggugat kestabilan pentadbiran negara.
“Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa terbuka menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak untuk kebaikan bersama. Adakah Anwar sanggup beri jaminan bahawa segala rencana politik peribadi akan dihentikan?” katanya.
Wan Saiful berkata, sebelum ini Anwar dan Pakatan Harapan dilihat tidak serius apabila ahli parti mereka menghina institusi Raja-Raja Melayu.
“Anwar dan pemimpin PKR hanya menegur kosong ahli PKR seperti Iswardy Morni yang begitu biadap menghina Agong dan Raja Permaisuri beberapa bulan lalu. Malah ada juga mereka mempertahankan individu yang jelas biadap terhadap Agong.
“Ini mencerminkan karakter sebenar Anwar dan anak-anak muridnya. Menyokong hanya ketika ia menguntungkan agenda diri sendiri, dan senyap membiarkan macai menghina apabila nampak tiada faedah,” katanya.