2 JULAI: Puluhan juta rakyat India kini menderita ekoran gelombang panas melampau melanda negara itu.
New Delhi mencatat suhu setinggi 43.1 darjah Celsius semalam, iaitu paling panas sejak 2012.
Gelombang panas mengorbankan lebih 6,500 orang di negara berpenduduk kedua paling ramai di dunia sejak 2010.
Suhu ketika siang melebihi 40 darjah Celsius selama empat hari berturut-turut di seluruh Rajasthan, Haryana dan New Delhi selain turut menjejaskan sebahagian besar kawasan di Punjab, Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh.
Jabatan Meteorologi India berkata suhu akan berada di atas 40 darjah Celsius bagi minggu akan datang susulan monsun barat daya dan angin panas dikenali Loo, bertiup dari gurun Rajashtan dan Pakistan.
Jabatan kaji cuaca sudah mengeluarkan amaran gelombang panas bagi wilayah itu dengan meramalkan beberapa lokasi terpencil akan menyaksikan ribut petir.
Suhu sangat panas mendorong peningkatan penggunaan tenaga kerana semakin banyak orang beralih kepada pendingin hawa.
Penggunaan tenaga di New Delhi mencapai hampir 7,000 megawatt (MW) minggu ini, peningkatan antara 10 hingga 15 peratus lebih tinggi berbanding purata permintaan tahun ini.
Hujan tahunan diramal tidak akan tiba New Delhi sebelum 7 Julai ini, menjadikannya monsun paling lama tertangguh di ibu negara sejak 2006.