3 JULAI: Kerajaan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kesatuan Eropah (EU) mengenai dakwaan Sijil Digital COVID-19 EU hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan berpendirian, jika sesuatu vaksin itu diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), maka negara lain perlu memberi pengiktirafan sama kepada mereka yang menerima vaksin berkenaan.
“Kita juga harap tiada diskriminasi dari segi kilang mana vaksin itu datang kerana kilang AstraZeneca menggunakan formula yang sama, sama ada kilang di Eropah, India, Korea Selatan atau Thailand.
“Jadi bagi saya, untuk asingkan kilang tertentu itu nampak tidak adil. Bagaimanapun, kita akan terus meminta penjelasan daripada EU melalui wakilnya di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, Selangor hari ini.
Dalam pada itu Khairy berkata Malaysia juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa negara tertentu mengenai isu pengiktirafan antaranya dengan kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana sebahagian besar negara Islam seperti Indonesia, Pakistan dan Turki menggunakan vaksin dari China, termasuk Malaysia, yang sudah diiktiraf WHO.
“Justeru, apabila Arab Saudi memaklumkan ia tidak mengiktiraf (vaksin dari China), bagaimana jemaah dari negara berkaitan akan ke Tanah Suci, contohnya pada tahun depan.
“Isu pengiktirafan vaksin ini menjadi satu perkara yang perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat antarabangsa. Jadi, kita harap tiada diskriminasi (vaksin),” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) masih mengkaji kaedah heterologi atau campuran vaksin membabitkan bukan hanya untuk dos pertama dan kedua, tetapi juga bagi dos ketiga atau dos penggalak.
Mengulas lanjut, Khairy berkata terdapat beberapa negara memberi dos penggalak yang berlainan dengan dua dos sebelum itu bagi meningkatkan imuniti melawan virus COVID-19.
“Kita masih melihat kepada data negara lain dan saya juga minta kumpulan kerja teknikal membuat kajian bagi pemberian vaksin yang berlainan, bukan hanya untuk dos pertama dan kedua tetapi juga dos penggalak yang ketiga, jika diperlukan.
“Data ini sedang dikaji dan masih belum ada sebarang syor rumusan yang dibuat kumpulan kerja teknikal ini,” katanya.