3 JULAI: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Malaysia meningkat lapan hari berturut-turut, sejak 25 Jun lalu dikhuatiri bakal melonjakkan kes ke paras 13,000 sehari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Rt pada 25 Jun lalu berada di paras 0.96, sebelum terus melonjak hingga 1.07, setakat semalam.
Katanya, perubahan Rt itu sekali gus menyaksikan graf seolah-olah membentuk lengkungan ‘U’, dengan kali terakhir Malaysia merekodkan kebolehjangkitan 1.07 pada 1 Jun lalu, iaitu hari pertama sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila pola peningkatan Rt ketika ini seakan-akan menepati unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjangka angka berkenaan bakal melonjak sehingga mencecah 1.2, sekiranya tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, jika unjuran sedemikian berlaku, kadar jangkitan harian yang dicatatkan di negara ini bakal melonjak ke paras 13,000 kes, sekali gus mengundang risiko sistem perkhidmatan kesihatan awam menjadi lumpuh, seperti bersandarkan analisis Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR),
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, bersandarkan anggaran Rt harian setakat semalam, Pahang mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 1.27, melebihi paras kebangsaan, selain Putrajaya (1.13), manakala hanya Perlis merekodkan sifar kes.