3 JULAI: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak termasuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) boleh mengatasi keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Beliau berkata PAU 2020 memutuskan bahawa parti berkenaan perlu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan dan ‘No Anwar, No DAP’.
“Ini bermakna ahli parlimen UMNO akan berpegang kepada arahan tersebut dan akan terus berada dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.
“Tidak boleh mana-mana pihak termasuk majlis tertinggi untuk menolak keputusan PAU. Kalau sekiranya hendak dipinda keputusan PAU, maka hendaklah dipinda oleh PAU, bukan MKT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun dalam ucapan PAU ada perwakilan bangun menyokong supaya tarikh menentukan bila nak keluar boleh dibuat MT, namun itu hanya ucapan dan bukan keputusan.
Jelasnya, keputusan parti adalah berdasarkan usul yang dibawa oleh Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi UMNO Perak), dan usul yang disahkan Naib Presiden UMNO bahawa tidak ada pindaan daripada usul itu.
“Maka sekiranya terdapat usaha usaha di pihak MKT untuk keluar kerajaan sebelum Parlimen dibubar, maka itu adalah kesalahan patut dan mereka layak diambil tindakan,” tegasnya.
Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) mendakwa MKT gagal mengambil tindakan mungkin tiada keberanian.
“Perbuatan tersebut adalah pilih kasih kerana ada orang yang kesalahan menegur Presiden telah diambil tindakan dan digantung keahlian UMNO seperti Lokman Adam dan Tun Faisal.
“Tetapi kesalahan yang dibuat presiden, Ahli Majlis Tertinggi mendiamkan diri,” katanya.
Berikutan itu Shahidan menasihatkan Ahli MKT supaya memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin demi menjaga imej parti.