4 JULAI: Kira-kira 30,000 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasar di Parlimen Kinabatangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama sejak awal tahun lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lalu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jumlah itu merangkumi bakul makanan yang diagihkan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen berkenaan, iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan memaklumkan, pengagihan bantuan berkenaan menggunakan peruntukan disediakan kerajaan Pusat dan negeri selain inisiatif beliau sendiri serta sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) seperti Sawit Kinabalu yang baru-baru ini menyumbang 1,500 bakul makanan di ketiga-tiga kawasan DUN.
“Bantuan ini tidak terhenti di sini sahaja. Selagi ada rakyat yang menghadapi kesusahan tidak kira di mana sahaja mereka berada, bantuan akan kita salurkan sama ada di DUN Lamag, Sukau atau Kuamut.
“Pengagihan bantuan akan diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan DUN masing-masing dan kita akan memastikan tiada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di kawasan ini tersisih daripada bantuan bakul makanan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini.
Terdahulu, Kinabatangan adalah kawasan Parlimen terbesar di negara ini dengan keluasannya hampir menyamai Pahang.
Bung Moktar sebelum ini turut turun padang menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk dengan yang terbaru di Kampung Balat dan Sangau, Kinabatangan sempena program jangkauan luar vaksinasi COVID-19, minggu lalu.
Rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP di Sabah diberikan bantuan bakul makanan sejak tahun lalu dan bulan lalu kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas lebih RM34 juta berikutan pelaksanaan PKP 3.0 untuk mengagihkan 343,665 bakul makanan di 73 kawasan DUN.
Terbaharu, Kerajaan Pusat turut mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen untuk bantuan bakul makanan di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, menyifatkan langkah kerajaan melanjutkan PKP 3.0 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai sesuatu yang wajar demi kebaikan negara dan keselamatan rakyat.
Beliau memaklumkan PKP perlu diteruskan bagi satu tempoh masa lagi sehingga penularan COVID-19 benar-benar terputus bagi mengelak kemungkinan berlaku lagi gelombang baharu COVID-19 yang lebih besar.
“Pelaksanaan PKP adalah cara terbaik untuk memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan, justeru kita menyokong apa juga keputusan kerajaan Pusat demi kebaikan negara dan keselamatan rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kerajaan negeri boleh membuat pertimbangan untuk melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan di negeri ini berdasarkan kes jangkitan yang terkawal. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH