5 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih ramai pesakit kritikal wabak COVID-19 yang tidak dapat ditempatkan di wad disebabkan kesesakan dan kekurangan katil di wad mahupun Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, pesakit yang tidak dapat ditempatkan di wad itu kini terpaksa diletakkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, perkara ini turut dialami oleh pesakit COVID-19 dalam kategori 3 dan 4 yang memerlukan bantuan oksigen kini hanya menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.
“Jumlah pesakit COVID-19 termasuk yang disyaki atau berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan masih tinggi dan tidak menunjukan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang sehingga kini seramai 1,224 pesakit COVID-19 termasuk individu yang disyaki dan berkemungkinan dijangkiti virus itu sudah dimasukan ke dalam ICU.
“Daripada jumlah yang dilaporkan itu lebih separuh atau 567 pesakit berada di Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagaimanapun, masih ramai pesakit yang kritikal tidak dapat dimasukkan ke dalam wad,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.
Justeru, Dr Noor Hisham memaklumkan, beberapa langkah sudah diambil oleh pihak KKM bagi mengatasi masalah berkenaan seperti meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, pihak HKL turut membuat penyumberluaran dengan merujuk pesakit bukan COVID-19 dari hospital berkenaan ke hospital swasta yang berdekatan.
“Kita turut mempertingkatkan kapasiti merawat pesakit COVID-19 di Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) serta menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya seperti Hospital Sungai Buloh mulai 30 Jun lalu.
” Sehingga kini terdapat 17 hospital yang merawat pesakit COVID-19 di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Selain hospital yang dinyatakan, Dr Noor Hisham turut membantu dalam merawat pesakit COVID-19 di Hospital Kajang, Hospital Banting, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Enam hospital lagi ialah Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Mukhriz UKM dan Hospital Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi status yang sama Dr Noor Hisham turut berdoa supaya wabak COVID-19 akan berakhir segera dan berharap masyarakat terus diberi kekuatan untuk melawan virus berkenaan.