5 JULAI: Pergerakan Pemuda UMNO dan Armada BERSATU senada mendesak pemimpin vateran DAP, Lim Kit Siang supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya berkaitan ‘Kerajaan Allah’ disiarkan dalam bloknya hari ini.
Berikutan itu Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dalam isu yang boleh mencetuskan gangguan kepada ketenteraman awam.
“Tulisan terbaru Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkenaan ‘Kerajaan Allah’ bersifat menghina Islam, bertujuan mengelirukan orang ramai terhadap Islam dan boleh mengundang perbalahan antara kaum dan agama.
“Beliau kononnya menulis sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagaimanapun ulasan beliau langsung tidak selari dengan kenyataan Abdul Hadi mengenai ‘Kerajaan Allah’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, Abdul Hadi tidak pernah berkata kerajaan Malaysia hari ini adalah ‘Kerajaan Allah’ seperti mana yang cuba digambarkan oleh Kit Siang.
Dalam artikel itu, Kit Siang menulis “Sekiranya ‘Kerajaan Allah’ adalah bentuk pemerintahan terbaik dalam pandemik COVID-19, mengapa Malaysia dalam senarai bawah dalam indeks global ekonomi berbanding Hong Kong, New Zealand, Korea Selatan, China, Jepun, Rusia, Thailand , Singapura, Vietnam dan Taiwan yang semuanya tidak pernah mengaku ‘Kerajaan Allah’.”
Kenyataan Abdul Hadi pula berbunyi “Pandemik COVUD-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘Kerajaan Allah’ yang maha berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan virus itu. Manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan. Oleh itu pemimpin perlu bermuhasabah diri.”
Nazir Hussin berkata, kenyataan Kit Siang itu menjurus kepada mewujudkan kebencian dan mengheret orang bukan Islam mempermain dan menghina agama Islam.
“Mustahil selepas berpuluh tahun menjadi wakil rakyat Kit Siang masih tidak memahami ayat mudah diungkapkan Presiden PAS itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Armada BERSATU, Mohd Asyraf Mustaqim Badrul Munir, pula mengecam sekeras-kerasnya pernyataan ‘falasi’ yang telah dimainkan oleh ‘De Facto’ DAP, Lim Kit Siang yang secara jelas telah menyeleweng ‘tazkirah maya’ Presiden PAS sekali gus secara terangan mempersenda umat Islam.
Beliau berkata dalam ‘tazkirah maya’ Presiden PAS, secara jelas beliau mengajak umat Islam agar bermuhasabah dan berikhtiar dengan akal dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT selain bersabar dalam sama membantu ‘kerajaan manusia’ yang serba kekurangan.
“Beliau sendiri tidak menafikan soal ikhtiar dan kekurangan ‘kerajaan manusia’.
Haji Hadi juga secara terangan bicara tentang hakikat yang berbalik perihal keimanan kita atas keyakinan dan ketentuan bahawa hanya Allah SWT yang Maha Kuasa mampu menghilangkan penyakit serta mengabulkan segenap ikhtiar manusia.
“Ini berdasarkan pernyataan beliau sebagaimana dipetik;
“Hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa. Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut.
“Hanya mereka yang jahil agama sahaja mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan, tanpa sama-sama tolong-menolong dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar seluruh dunia dan penduduknya.
“Namun begitu, Lim Kit Siang kemudiannya telah menyeleweng dan mempersenda temehkan ‘keimanan’ umat Islam saat beliau menulis; If “Allah’s government” is the best form of government in Covid-19 Pandemic, why Malaysia is the last in the Economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”,” katanya.
Jelas pemahaman Kit Siang tersasar, tambah mengecewakan takkan tiada satu pun pemimpin yang ada keimanan kepada Allah SWT serta pada agama Islam dalam DAP, yang berani menegur Kit Siang saat Allah SWT yang maha kuasa dipersenda diperlekehkan? apatah lagi memfitnah dan menyeleweng pernyataan atas satu nasihat baik yang dinyatakan biar berbeza fahaman politik?
“Ini adalah bukti tak sudah betapa biadabnya kepimpinan DAP seperti Kit Siang dan betapa halusnya permainan politik DAP untuk menanam kebencian dan bawa idealisme kebebasan pemikiran semata dari bersulam keimanan khususnya buat umat Islam dalam pada ummah terus maju dan berikhtiar bertepatan kemajuan Sains dan Teknologi,” katanya.