5 JULAI: Tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan dilanjutkan hingga akhir tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun lalu bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan pelan itu sehingga 31 Disember ini atau hingga PICK selesai.
“Sehingga 1 Julai lalu, seramai 248,083 PATI sudah mendaftar untuk menyertai Pelan Rekalibrasi PATI.
“Daripada jumlah itu, seramai 97,892 PATI mendaftar untuk pulang ke negara asal melalui Program Rekalibrasi Pulang, manakala 149,889 PATI mendaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, selain itu, mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju memperluas pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI ke Sabah dan Sarawak, namun ia tertakluk kepada persetujuan kerajaan kedua-dua negeri terbabit.
“Semua PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai program-program ditawarkan di bawah Pelan Rekalibrasi PATI ini adalah sangat dialu-alukan.
“Mereka boleh berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja yang berkaitan. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman webwww.imi.gov.my,” katanya.
Pada November lalu, media melaporkan kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merangkumi dua komponen utama – Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja – yang akan dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 Jun tahun depan kepada pendatang asing tanpa izin yang ada di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik sebagai berkata, Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.
Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula menjadikan PATI yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.