5 JULAI: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menegaskan tiada sebab Kesatuan Eropah enggan mengiktiraf penerima vaksin AstraZaneca kerana penggunaannya sudah mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Khairy berkata, kerajaan juga sudah meminta pengeluar vaksin AstraZeneca-Oxford untuk memaklumkan kepada Kesatuan Eropah (EU) bahawa semua fasiliti yang mengeluarkan vaksin itu menggunakan formulasi sama.
Beliau berkata tindakan berkenaan perlu berikutan keputusan Agensi Perubatan Eropah (EMA) untuk tidak mengiktiraf vaksin keluaran AstraZeneca-Oxford yang dikilangkan di Korea Selatan, Thailand dan Jepun.
“Tiada alasan untuk EMA mendiskriminasikan vaksin keluaran fasiliti yang berbeza. Mereka juga perlu memaklumkan bahawa semua fasiliti ini mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP).
“Berikutan itu, tiada alasan untuk EU mendiskriminasikan antara satu fasiliti AstraZeneca-Oxford dengan fasiliti lain. Saya sudah meminta mereka menimbulkan perkara ini kepada EU,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) secara maya, yang turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada EU membabitkan dasar imigresen kesatuan itu berhubung pemberian vaksin keluaran fasiliti yang tidak diiktiraf EMA ketika ini.
Katanya, beliau akan berbincang perkara itu dengan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas.
Sementara itu, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan mengumumkan
selang masa untuk bekas pesakit COVID-19 mengambil vaksin, pada minggu ini.
“Dasar sedia ada yang dikeluarkan JKJAV berhubung sela masa membabitkan kes positif, untuk mengambil vaksin ialah tiga bulan.
“Bagaimanapu, saya difahamkan ada beberapa PPV membuat keputusan berbeza. Perkara ini akan dikemaskini pada peringkat JKJAV untuk ditentukan, minggu ini,” katanya.