Polis Hong Kong tahan 9 individu terbabit kegiatan pengganas
6 JULAI : Pihak berkuasa Hong Kong menahan sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 15 dan 39 tahun kerana disyaki berkonspirasi untuk menggunakan bahan letupan bagi kegiatan pengganas.
Daripada sembilan individu tersebut, enam adalah pelajar sekolah menengah dan kesemuanya adalah warga Hong Kong.
Mereka yang ditangkap adalah kumpulan prokemerdekaan yang menggelarkan diri sebagai ‘Returning Valiant’.
Menurut Superintendan Kanan dari unit keselamatan nasional baru, Steve Li, operasi yang dilakukan semalam adalah terhadap samseng yang berusaha menghasilkan bahan letupan TATP iaiti sejenis bahan letupan kuat di dalam makmal di dalam sebuah asrama.
Menurutnya, kumpulan itu merancang untuk menyerang kemudahan awam termasuk terowong lintas pelabuhan, jaringan kereta api dan mahkamah untuk memaksimumkan kerosakan masyarakat.
Dalam serbuan tersebut, Polis Hong Kong berjaya merampas pelbagai barangan dari kumpulan itu termasuk sejumlah kecil bahan letupan, bahan mentah untuk menghasilkan TATP, pistol angin, telefon bimbit, kad SIM, manual operasi bagaimana menanam bom dan rancangan meninggalkan bandar.
Turut dirampas ialah sejumlah wang tunai HKD90,000 (RM48,128) ditemui dan kira-kira HKD 600,000 (RM320,859) dalam akaun bank yang berkaitan.
Sentimen anti-Kerajaan berleluasa pada tahun 2019 semasa tunjuk perasaan prodemokrasi besar-besaran yang dihentikan dengan penangkapan dan undang-undang keselamatan negara baharu.
Polis melakukan beberapa tangkapan dalam tempoh dua tahun lalu atas tuduhan plot bom, walaupun tidak ada serangan besar yang berjaya dilakukan.