8 JULAI: Sebanyak 154 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 yang dikhususkan buat pesakit COVID-19 kategori 4 telahpun melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, baki katil sebanyak 5,044 katil yang disediakan di PKRC tersebut bagi pesakit COVID-19 kategori 1, 2 dan kategori 3 juga hampir digunakan sepenuhnya.
“Berdasarkan data terkini, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima secara purata 800 orang pesakit COVID-19 dalam tempoh sehari dengan purata 200 pesakit merupakan pesakit COVID-19 yang berada dalam kategori 4.
“KKM telah menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
“Ini kita laksanakan bagi memberi kemudahan untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Adham memberitahu antara langkah segera dilaksanakan KKM adalah menambah segera katil ICU di hospital KKM dan hospital pengajar universiti bagi membolehkan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.
Menurut beliau, KKM juga akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dengan sejumlah 60 katil dan peralatan tambahan yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya pesakit COVID-19.
“Hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan ditubuhkan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR Klang, Selangor dan juga memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang juga menerima dan merawat pesakit COVID-19 bagi Kategori 3 dan Kategori 4.
“KKM juga akan melaksanakan segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 orang petugas kesihatan di samping menambah segera sebanyak 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0,” katanya.
Sementara itu, Adham memberitahu KKM juga akan melaksanakan kerja pengujian dan penyerahan mulai malam tadi bagi 30 unit oxygen concentrator baharu di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 agar peralatan tersebut dapat digunakan segera untuk perawatan pesakit.
Tambah beliau, Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh akan dioperasikan semula menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 agar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4.
“Kita juga akan menyediakan pekerja sukarelawan, terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit COVID-19 kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka sedang dirawat di hospital kerana COVID-19.
“KKM juga akan melaksanakan kerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC.
“KKM berharap dengan pelaksanaan langkah ini dapat meningkatkan bagi kesiapsiagaan hospital KKM, hospital pengajar universiti, hospital ATM, hospital medan ATM dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH