8 JULAI: Malaysia mencatatkan jumlah kematian harian akibat COVID-19 tertinggi dengan 135 kes dilaporkan berlaku di seluruh negara hari ini.
Kes kematian harian tertinggi yang pernah dilaporkan ialah pada 2 Jun 2021 iaitu sebanyak 126 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan 135 kes kematian itu menjadikan angka korban akibat penularan COVID-19 di Malaysia kini mencecah hampir 6,000 kes iaitu 5,903 kes setakat hari ini.
Beliau berkata daripada 135 kes kematian dilaporkan hari ini 119 membabitkan rakyat tempatan, manakala 16 lagi pesakit COVID-19 yang maut adalah bukan warganegara.
“Selangor terus kekal sebagai negeri mencatatkan kes kematian tertinggi akibat COVID-19 dengan 64 kes lagi dilaporkan hari ini, diikuti Kuala Lumpur (24), Johor (9), Negeri Sembilan (8), Melaka (8), Sarawak dan Kelantan masing-masing empat kes.
“Sabah, Pahang, dan Perak pula masing-masing mencatatkan tiga kes kemarian, Pulau Pinang (2) Putrajaya (2), Terengganu dan Labuan masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga mengesahkan bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital di seluruh negara kini meningkat kepada 952 pesakit termasuk 445 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Beliau berkata KKM juga melahirkan kebimbangan dengan peningkatan jumlah kluster COVID-19 di Malaysia yang kini mencecah 3,000 kluster (2,999 kluster setakat hari ini) termasuk 2,144 kluster sudah tamat dan 855 masih aktif.