8 JULAI: Kerajaan mengumumkan Sabah akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa mulai Sabtu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dilakukan berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini telah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri di bawah PPn oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan bersetuju melaksanakan peralihan itu kepada Sabah kerana berjaya mencaoai nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan.
“Peralihan bagi fasa PPN bagi negeri Sabah akan berkuatkuasa mulai 10 Julai 2021. Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang telah ditetapkan bagi fasa 2 boleh dirujuk di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah lagi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang Rahimah (HTAR) Klang.
Beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata ini bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di negeri Selangor seterusnya membantu KKM menangani situasi pandemik COVID-19 di negeri tersebut ketika ini.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk mewujudkan Hospital Medan ATM di negeri Melaka untuk menyokong sistem perkhidmatan kesihatan di negeri tersebut ketika ini.
“ATM juga memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap-siaga jika ada keperluan untuk membina hospital-hospital medan di negeri-negeri yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia
sentiasa dilindungi.
“ATM akan berbincang dengan lebih lanjut bersama KKM untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di negeri ini dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu
sebanyak 56 premis meliputi kilang premis perniagaan dan tapak pembinaan telah diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP).
“Ini berikutan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, di mana sebanyak 2,859 kilang dan 16, 743 premis perniagaan, 907 tapak pembinaan dan 394 buah asrama penempatan pekerja telah diperiksa.
“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 90, 303 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,413 orang,” katanya.
Ismail Sabri turut berkata jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam merekodkan jumlah 556 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu, seramai 523 individu dikompaun, 32 orang direman serta seorang lagi telah dijamin.
“Kesalahan tertinggi direkodkan semalam ialah mereka yang rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis sebanyak 168 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 82 kes.
“Kesalahan lain yang turut dicatatkan adalah tidak memakai pelitup muka (80), membawa penumpang berlebihan (63), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (53), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (52), premis gagal patuhi arahan (9) dan lain-lain (49), “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH