8 JULAI: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menegaskan beliau antara ahli MKT yang tidak bersetuju dengan cadangan UMNO menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu, berkata beliau berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Mac lalu iaitu UMNO akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.
Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO, berkata selain beliau beberapa ahli MKT lain termasuk Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Khaidhirah Datuk Abu Zahar turut berkongsi pandangan sama.
“Saya tidak menyokong cadangan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri itu. Pada PAU yang lalu, keputusan sudah dibuat iaitu kita kekal bersama dalam PN sehingga Parlimen dibubarkan, jadi kita ikut keputusan itu.
“Pada mesyuarat malam tadi, kita menyatakan pandangan kita, namun MKT sudah membuat keputusan (untuk tidak menyokong Perdana Menteri),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat MKT, malam tadi, yang memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam kenyataan dibacakan malam tadi juga mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk satu tempoh terhad.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pula melahirkan rasa kecewa dengan keputusan MKT yang memutuskan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU, menyifatkan tindakan itu bukan masanya kerana sedang berhadapan dengan masalah akibat pandemik COVID-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini selain isu-isu lain berkaitan kepentingan rakyat.
“Saya sangat kecewa dengan keputusan (MKT UMNO) kerana ia dibuat ketika negara sedang berhadapan dengan masalah COVID-19 yang perlu kita tangani bersama.
“Wabak COVID-19 ini tidak pernah alami sebelum ini dan dalam masa sama, kita juga ada isu-isu lain yang tiada kaitan dengan penyakit ini dan sebagai contoh saya berada di sini untuk melihat mangsa kanak-kanak yang disyaki didera.
“Jadi, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada Tan Sri Perdana Menteri,” katanya selepas melawat Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, hari ini.
Mengulas lanjut, Rina berkata, banyak perkara dan usaha yang telah dilakukan kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin, bukan sahaja membabitkan isu menangani COVID-19 tetapi juga sosio-ekonomi rakyat dan negara.
“Banyak yang sudah kita (PN) lakukan, bayangkan dalam tempoh setahun iaitu bermula Mac sehingga Julai, lapan pakej bantuan yang telah beliau (Muhyiddin) berikan yang bernilai RM380 bilion dan ini bukan sedikit bagi tempoh setahun.
“Kerajaan juga berusaha sedaya upaya dengan mempercepatkan program vaksinasi agar ramai rakyat dapat menerima suntikan vaksin sekali gus mengurangkan kes serta menyekat penularan wabak berkenaan. Semalam, saya dimaklumkan sudah mencapai 375,000, iaitu yang tertinggi,” katanya.