8 JULAI: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam ini memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta merta mulai hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memenuhi tujuh syarat dan garis panduan dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.
Berikutan itu, Zahid berkata tempoh memberikan sokongan dan mandat UMNO kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.
“Justeru, UMNO mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin dapat berundur (meletak jawatan selaku Perdana Menteri) secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk satu tempoh terhad.
“Tempoh pelantikan Perdana Menteri baharu akan hanya mengfokuskan kepada kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani COVID-19 dengan lebih berkesan dan inklusif serta memastikan vaksinasi dan imuniti berkelompok dapat dicapai secepat mungkin,” katannya dalam sidang media selepas mempergurusikan Mesyuarat MKT UMNO secara maya malam tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata selepas Malaysia berjaya mencapai tahap imuniti berkelompok, Perdana Menteri baharu, mestilah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya segera membubarkan Parlimen bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata langkah berkenaan penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan seperti dihajatkan dalam titah Yang di-Pertuan Agong, sebelum ini.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian seperti diputuskan di PAU 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan juga mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.
“Mengambil maklum keputusan Biro Politik UMNO melalui kenyataan Presiden untuk memberikan tempoh 14 hari bagi Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen secepat mungkin.
“Hasil tekanan yang dilakukan UMNO inilah, akhirnya Kerajaan akur untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bakal diadakan selama lima hari bermula 26 Julai 2021,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat juga telah memperhalusi dan menimbangkan beberapa garis panduan utama yang ditetapkan oleh MKT pada 11 Mac 2020 tatkala UMNO memberikan sokongan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
“Dua panduan utama adalah kerajaan harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan dan kerajaan harus segera menangani kelembapan ekonomi dan melakarkan pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun setelah diperhalusi, segala panduan utama yang digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan. Ternyata Kerajaan gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama,” katanya