8 JULAI: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin, menegaskan beliau secara peribadi masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin biarpun Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan perkara sebaliknya malam tadi.
Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata beliau juga tidak pernah menandatangani akuan bersumpah (SD) keputusan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, seperti diumumkan Presiden UMNO malam tadi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau juga tidak mengetahui apa yang diputuskan ahli MKT lain setelah dipanggil seorang demi seorang sebelum ini.
“Saya tidak tandatangan untuk tarik sokongan kepada Muhyiddin. Saya juga kita tidak tahu siapa yang sokong…siapa yang tidak sokong, sebab ahli-ahli MKT dipanggil seorang-seorang (sebelum ini) ,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat MKT, malam tadi, memutuskan bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, berkuat kuasa serta-merta.
Ahmad Zahid dalam sidang medianya berkata, perkara berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memenuhi tujuh syarat dan garis panduan dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020.
Berikutan itu, Zahid berkata tempoh memberikan sokongan dan mandat UMNO kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.
Bagaimanapun kenyataan lima muka surat yang dibaca oleh Zahid tidak menyatakan sama ada ahli-ahli Parlimen parti itu yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Muhyiddin akan meletakkan jawatan atau sebaliknya.