9 JULAI: Jumlah kes harian COVID-19 dijangka berlaku peningkatan susulan pelaksanaan saringan ke atas 10 peratus daripada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semasa pelaksanaan PKPD, aktiviti kesihatan awam dapat dijalankan dengan lebih bertumpu terutama kumpulan berisiko tinggi.
Menurut beliau, usaha pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu bergejala dilaksanakan dengan lebih giat bagi pengesanan awal kes COVID-19.
“Ini membolehkan pengasingan segera dijalankan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti manakala pelaksanaan PKPD berdasarkan penilaian risiko di kawasan tersebut.
“Berdasarkan pelbagai usaha dipergiat terutama melalui hasil saringan bersasar, berlakunya peningkatan ketara kes di negeri-negeri yang berada di bawah PKPD,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Kes harian COVID-19 yang dilaporkan di seluruh negara juga melebihi angka 7,000 sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Berdasarkan laporan KKM, kes pada 6 Julai lalu ialah 7,654 kes, namun turun sedikit ke 7,097 kes dan kembali meningkat dengan mendadak ke 8,868 kes semalam.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan Selangor telah menyumbang sebanyak 42.02 peratus daripada 47,811 kes bagi tempoh minggu pertama Julai berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 hingga 30 Jun.
“Kuala Lumpur pula menyumbang sebanyak 13.01 peratus pada tempoh 1 hingga 7 Julai berbanding 12.29 peratus bagi tempoh 24 hingga 30 Jun lalu,” katanya.
Khamis lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 12 lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari berkuat kuasa 3 hingga 16 Julai adalah untuk keselamatan rakyat.
Daripada 34 mukim di Selangor, tujuh daripadanya dilaksanakan di Mukim Tanjung 12 (1), Mukim Tanjung 12 (2), Mukim Teluk Panglima Garang, Mukim Morib, Mukim Bandar, Mukim Jugra dan Mukim Batu di daerah Kuala Langat.
Selain itu, enam mukim di daerah Hulu Langat juga dilaksanakan PKPD iaitu Mukim Ampang, Mukim Cheras, Mukim Kajang, Mukim Semenyih, Mukim Beranang dan Mukim Hulu Langat serta empat mukim lagi di daerah Gombak iaitu Mukim Batu, Mukim Rawang, Mukim Setapak, Mukim Hulu Langat dan Mukim Kuang.
Di daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor, masing masing empat Mukim iaitu Mukim Ijok, Mukim Bestari Jaya, Mukim Jeram, Mukim Tanjung Karang, Mukim Serendah, Mukim Rasa, Mukim Ulu Yam dan Mukim Batang Kali.
Di Petaling Jaya pula, Mukim yang dilaksana PKPD ialah Mukim Petaling, Mukim Damansara, Mukim Sg Buloh serta Mukim Bukit Raja dan bagi Daerah Sepang, mukim yang terlibat ialah Mukim Dengkil, Mukim Labu serta Mukim Sepang manakala di daerah Klang hanya dua mukim yang terlibat iaitu Mukim Kapar dan Mukim Klang.
Bagi lokaliti di Kuala Lumpur, kawasan PKPD ialah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 2 dan Seksyen Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flat Sri Sabah Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.
Terbaharu, beberapa lagi kawasan di Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Kelantan dan Johor dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 22 Julai ini.