9 JULAI: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menepis tindakan pihak tertentu yang menggelar dirinya sebagai pentaksub Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan beliau senang bekerja bersama Perdana Menteri.
Tanpa menyebut nama tersebut, beliau merujuk kenyataan itu dikeluarkan seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO lantikan dari sebuah negeri yang disifatkannya telah gagal sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Watak penulis ini sudah diketahui ramai.Tak perlu saya mengulasnya. Lagipun bukan cara saya melayani watak yang tak perlu dilayan. Saya tidak tahu dia pentaksub siapa…mungkin orang lain tahu.
“Insya-Allah, saya akan terus berkerja untuk rakyat membantu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan setakat termampu bagi saya.
“Taksub?…biar rakyat yang menilai, dan biar rekod saya yang berbicara. Saya hanya mampu senyum membaca penulisannya,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Annuar mengakui dirinya lebih senang bekerja dengan individu yang berusaha membantu rakyat berbanding pihak yang masih bermain politik, beretorik dan mahu menjatuhkan pihak lain demi kepentingn peribadi.
Beliau yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan apatah lagi bagi mereka yang mempunyai pendirian tidak konsisten dan bersikap tidak jujur.
“Namun yang pasti saya lebih senang bekerja bersama seseorang yang terbukti lebih berjaya serta terus menerus bekerja dan berusaha membantu rakyat.
“Daripada bekerja bersama orang yang saban hari tak habis-habis bermain politik, beretorik dan mahu menjatuhkan orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Apa lagi untuk bekerja dengan mereka yang gagal terbukti mengawal diri, mulut dan hati mereka. Semoga Allah memberi mereka dan kita semua taufik dan hidayah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH