11 JULAI: Kerajaan Negeri Sarawak telah menyalurkan bantuan kepada seramai 26,021 anak Sarawak termasuk 20,916 pelajar yang berada di luar Sarawak khususnya di Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Bantuan yang disampaikan menerusi Rumah Sarawak di Kuala Lumpur (RSKL) dan Sarawak Volunteers (SV) itu bagi membantu mereka yang berdepan masalah dan kesulitan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19 sejak 18 Mac tahun lalu.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Kerajaan Sarawak dan Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mewujudkan Pusat Operasi Bantuan di Rumah Sarawak Kuala Lumpur sejak dari awal perlaksanaan PKP bagi membantu warga Sarawak yang memerlukan bantuan.
“Seramai 17,954 warga Sarawak termasuk 17,739 pelajar menerima bantuan khas semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP 1), diikuti 2,475 anak Sarawak termasuk 2,018 pelajar menerima bantuan ketika PKP 2 dan 5,592 warga Sarawak termasuk 1,159 pelajar menerima bantuan ketika PKP 3.
“Antara bantuan yang diberikan adalah menguruskan penghantaran pulang pelajar-pelajar dan anak-anak Sarawak yang terkandas, serta menyediakan penginapan sementara dan makan minum.
“Bantuan kewangan serta bakul makanan turut disalurkan kepada warga Sarawak yang berdepan masalah ketika pandemik COVID-19 ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dari segi Bantuan Kebajikan, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya memaklumkan sebanyak RM431,356.50 telah diperuntukkan bagi membantu seramai 587 warga Sarawak pada 2020 dan 117 warga Sarawak dibantu sejak 1 Januari hingga 9 Julai lalu.
Beliau yang juga merupakan penaung SV menegaskan bantuan kebajikan melibatkan tiga kategori bantuan iaitu bantuan mingguan (bagi kes yang dirujuk dari hospital di Sarawak), bantuan lain (penginapan, makanan, tiket penerbangan dan sumbangan) serta penghantaran jenazah.
“Bagi bantuan mingguan, seramai 115 warga Sarawak dibantu pada tahun lalu (2020) dengan nilai bantuan RM54,060 dan 89 dibantu antara Januari hingga 9 Julai tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM41,970.51.
“Bagi bantuan lain, seramai 418 warga Sarawak menerima bantuan berjumlah RM67,738.99 pada tahun lalu dan 67 lagi menerima bantuan berjumlah RM32,337 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
“Manakala bagi pengurusan jenazah RSKL dan SV menguruskan penghantaran pulang 54 jenazah warga Sarawak pada tahun lalu yang memperuntukkan sebanyak RM168,400 dan 21 jenazah sejak awal tahun ini (RM66,850),” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata beliau telah mengadakan beberapa siri perbincangan secara maya dengan wakil anak-anak Sarawak dalam menyantuni isu dan permasalahan yang dihadapi anak-anak Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengucapkan menzahirkan ucapan terima kasih kepada wakil-wakil Badan Pertubuhan Kerajaan (NGO) Sarawak yang turut hadir dan juga atas bantuan yang telah dihulurkan kepada anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia.
“Banyak perkara terutamanya berkaitan kebajikan anak-anak yang terkesan akibat pandemik Sarawak dibincangkan dan akan di ambil tindakan serta perhatian.
Semua yang hadir telah bersetuju untuk mengeratkan lagi kerjasama antara semua pihak bagi memastikan kebajikan anak-anak Sarawak terus terjaga.
“Kepada anak-anak Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memerlukan bantuan dan berdepan kesulitan terutama ketika penularan pandemik ini bolehlah menghubungi Careline Rumah Sarawak Kuala Lumpur & Sarawak Volunteers menerusi talian 011-57505389 / 011-57505379 / 011-69285673 / 016-8945579 (8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari), “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH