11 JULAI: Lebih 370 penduduk Palestin mengalami kecederaan selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah pembinaan sebuah kem haram di Tebing Barat.
Lapor Al Jazeera, beberapa dron digunakan untuk menjatuhkan kanister gas pemedih mata sehingga asap menyelubungi seluruh lokasi demonstrasi itu yang diadakan di bandar Beita, berhampiran Nablus, Tebing Barat.
Menurut beberapa saksi, tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan peluru keluli bersalut getah ke arah penduduk Palestin selepas menunaikan solat Jumaat di Beita.
Penunjuk perasaan turut membalas dengan membakar tayar dan membaling batu ke arah tentera Israel.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan seramai 379 penduduk Palestin cedera dalam kejadian itu.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 31 penduduk terkena tembakan peluru hidup.
Demonstrasi serupa juga berlaku di bandar Kafr Qaddum dan Beit Dajan yang mana puluhan penduduk Palestin terpaksa menerima rawatan akibat kesan gas pemedih mata.
Dilaporkan, tentera Israel turut menyerang penduduk yang membantah terhadap penempatan Yahudi di Masafer Yatta di Hebron.
Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak mungkin wujud di Asia Barat selagi dasar Israel berterusan menekan Palestin.