12 JULAI : Dakwaan berkenaan Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengalami masalah kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) tidak benar.
Perkara itu dinafikan sendiri oleh HCTM UKM menerusi kenyataan memaklumkan, hospitalnya mempunyai bekalan PPE yang mencukupi dan Jabatan Perubatan Kecemasan antara jabatan yang diberikan keutamaan untuk dibekalkan PPE berikutan keperluannya.
“Semakan stok di jabatan berkenaan mendapati tiada masalah kekurangan seperti dimaklumkan.
“Pihak HCTM UKM menafikan ketidakcukupan PPE seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut merujuk kepada beberapa mesej menerusi aplikasi Whatsapp yang tular mengenai kekurangan PPE di Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM.
Kenyataan itu juga menyebut, pemakaian PPE dalam kalangan anggota petugas barisan hadapan HCTM UKM adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.