12 JULAI: Beberapa negara Asia Pasifik, termasuk Malaysia, dijangka terjejas dari segi pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga tahun ini.
Menurut Moody’s Analytics, ia berikutan lonjakan jangkitan COVID-19 di rantau ini dan dijangkakan Indonesia paling teruk dengan berisiko menyebabkan semakan semula unjuran pertumbuhan Moody’s Analytics sebanyak 4.5 peratus tahun ini.
“Masalah dihadapi Indonesia adalah permintaan domestiknya merangkumi sebahagian besar ekonomi berbanding negara lain di Asia Tenggara, malah eksport tidak banyak membantu mengimbangi kelemahan domestik di peringkat agregat.
“Vietnam dan Malaysia akan turut terkesan,” katanya dalam analisis bertajuk ‘Rumusan Makro: COVID-19 Jejas Pemulihan Asia’ yang diterbitkan hari ini.
Walaupun menegaskan bahawa 2021 pasti lebih baik berbanding 2020, Moody’s Analytics berkata perkembangan minggu lalu membuktikan bahawa bagi kebanyakan ekonomi di Asia Pasifik, pengurusan dan pembendungan COVID-19 adalah menjadi cabaran memandangkan varian Delta mula membadai rantau ini.
Sebagai contoh, ia berkata, Indonesia mengisytiharkan sekatan pergerakan seluruh negara pertama apabila kes meningkat minggu lalu dengan purata harian hampir mencecah 30,000.
Jepun pula mengisytiharkan darurat akan diteruskan sehingga Olimpik Tokyo, dijadual bermula 23 Julai ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sekatan pergerakan di Sydney dilanjutkan kerana varian jumlah kes varian Delta yang amat mudah berjangkit sudah melepasi paras selesa, manakala kes COVID-19 ketika ini adalah yang terburuk dialaminya.
“Sekatan pergerakan di Ho Chi Minh City bermula minggu ini, manakala gelombang keempat sudah melanda Korea Selatan,” tambahnya.
Moody’s Analytics menegaskan bahawa tema serupa ekonomi yang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19 adalah jadual vaksinasi domestik yang perlahan.
“Semua ekonomi terbabit masih jauh daripada daya tahan kelompok, mendedahkan semuanya kepada sekatan pergerakan berterusan yang memberi tekanan kepada permintaan domestik dan pemulihan, situasi yang mungkin berterusan sehingga separuh kedua 2021,” katanya.